Laporan disediakan oleh: Cikgu Ang
Foto diambil oleh: Cikgu Wong
    Jabatan Akademik Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang dengan kerjasama kumpulan Bahasa Melayu telah menganjurkan “Bengkel Tatabahasa dan Penulisan Bahasa Melayu Peperiksaan Bersama UEC Senior Tiga ” pada hari Khamis, 9 Julai 2026 di auditorium lama sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah menjemput seorang penceramah yang berpengalaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Cikgu Tan CL untuk mengendalikan bengkel ini bagi membantu pelajar Senior Tiga menduduki Peperiksaan Bersama pada hujung tahun ini. Semua kelas Senior Tiga terlibat, iaitu kelas S3ST, S3AL, S3AB, S3AF dan S3AP. Bengkel ini telah diadakan selama dua jam, iaitu dari pukul 10.50 pagi hingga pukul 12.50 tengah hari.
    Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran murid dalam menguasai teknik menjawab soalan berdasarkan format UEC terkini. Cikgu Tan CL turut menyediakan kertas peperiksaan UEC tahun 2025 sebagai bahan bengkel untuk para pelajar dan guru-guru yang terlibat.
    Bengkel dimulakan dengan penegasan kepentingan subjek BM dalam peperiksaan UEC khususnya bagi pelajar yang tidak mengambil peperiksaan SPM. Seterusnya, Cikgu Tan CL membincangkan cara-cara menjawab kertas 1, iaitu karangan dan penterjemahan. Dalam bengkel ini, beliau menggalakkan pelajar yang agak lemah dalam BM memilih karangan yang berbentuk sambungan cerita dan fakta. Seterusnya, beliau menerangkan teknik-teknik menulis karangan. Teknik KISS Me dibentangkan untuk membantu pelajar menulis karangan berbentuk fakta juga. Di samping itu, bentuk-bentuk karangan yang akan diuji dalam kertas satu turut dibincangkan.
    Setelah itu, bengkel diteruskan dengan penerangan bahagian kertas 2, iaitu rumusan, kefahaman prosa moden, bina ayat, pelbagai jenis ayat dan analisis ayat (bahagian morfologi dan sintaksis). Setelah itu, teknik-teknik menjawab bahagian rumusan dibincangkan oleh beliau. Penggalakkan penggunaan penanda wacana dan peringatan munasabah tentang perihal singkatan ditegaskan juga agar dapat memperoleh markah yang diharapkan. Selain itu, beliau membincangkan cara-cara penulisan isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan dalam rumusan serta membuat penegasan tentang skema penolakan markah. Seterusnya, teknik-teknik pembinaan ayat dan analisis ayat dibincangkan oleh beliau agar para pelajar dapat menguasai aspek tatabahasa dan aspek penulisan dengan baik untuk mendapat keputusan yang baik dalam UEC.
    Pada akhir sesi, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Tan CL atas kesudian beliau berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Senior Tiga. Pihak sekolah berharap pelajar-pelajar Senior Tiga yang akan menduduki UEC dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan pada hujung tahun nanti.