【学科活动-国文组】Bengkel Pemantapan Bahasa Melayu SPM

Laporan disediakan oleh: Cikgu Nadya
Foto diambil oleh: Goh Yih Weng

    Jabatan Kaunseling Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang dengan kerjasama kumpulan Bahasa Melayu telah menganjurkan “Bengkel Pemantapan Bahasa Melayu” pada hari Isnin, 2 Mac 2026 di auditorium sekolah. Dengan ini, pihak sekolah telah menjemput seorang penceramah yang berpengalaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu selama 10 tahun iaitu Dr. Philip Hii untuk mengendalikan bengkel ini khusus kepada pelajar-pelajar Senior Dua yang bakal menduduki SPM pada hujung tahun ini. Kelas Senior Dua yang terlibat termasuklah kelas S2ST, S2AL, S2AB dan S2AP. Bengkel ini telah diadakan selama dua jam dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 11.30 pagi.

    Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran murid dalam menguasai teknik menjawab soalan berdasarkan format SPM terkini. Dr. Philip Hii turut menyediakan lembaran kerja untuk para pelajar dan guru yang terlibat.

    Bengkel dimulakan dengan penerangan format SPM kertas 1 dan kertas 2. Seterusnya, Dr. Philip menerangkan cara menulis karangan berpandukan bahan rangsangan. Para pelajar perlu cakna meneliti informasi-informasi yang terdapat pada bahan yang diberikan sebelum mula menulis karangan. Setelah itu, seminar diteruskan dengan penerangan bahagian kertas 2 iaitu sistem dan aplikasi bahasa yang terdiri daripada bahagian morfologi, sintaksis, penyuntingan, bahasa Melayu standard dan peribahasa. Para pelajar boleh merujuk pada lembaran kerja yang disediakan. Dr. Philip menerangkan satu persatu bahagian dengan contoh yang dipaparkan pada skrin. Sesi soal jawab turut diadakan untuk menguji pengetahuan sedia ada para pelajar. Beberapa orang pelajar diminta tampil ke depan untuk berkongsi jawapan mereka. Para pelajar telah memberikan respons yang memberangsangkan semasa sesi soal jawab dalam bengkel ini. Dr. Philip telah memberikan penerangan yang jelas bagi setiap soalan yang dipaparkan menerusi slaid PPT. Bagi bahagian kertas 2 beliau memberitahu bahawa para pelajar perlu menguasai aspek tatabahasa dengan baik untuk menjawab soalan.

    Pada akhir sesi, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Philip atas kesudian beliau berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Senior Dua. Pihak sekolah berharap pelajar-pelajar Senior Dua yang akan menduduki SPM agar lebih bermotivasi untuk menduduki peperiksaan pada hujung tahun nanti.

Sesi bergambar beramai-ramai dengan penceramah

Penceramah: Dr. Philip Hii