【学科活动-国文组】Lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 kali ke-42(PBAKL 2025)

    Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) kali ke-42 telah dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama agensi perbukuan dan persatuan-persatuan industri buku negara. Pesta buku ini telah diadakan di Pavilion PTS, Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

    Pesta buku ini bermula dari 23 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025. Waktu lawatan ke PBAKL 2025 adalah bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. PBAKL 2025 merupakan pesta buku yang terbesar dan terunggul di negara ini. PBAKL 2025 telah disertai penerbit buku tempatan dan penerbit daripada luar negara.

    Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang amat bersyukur kerana berpeluang membawa pelajar-pelajar dari sekolah kami ke pesta buku tersebut. Kami ke pesta buku pada 24 Mei 2025, bermula dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang. Rombongan sekolah kami terdiri daripada dua orang guru kumpulan Bahasa Melayu iaitu Cikgu Wan Bangdilah Ahmad dan Cikgu Teh Yen Peng bersama dengan sembilan orang pelajar daripada kelas SIST. Kami menaiki van sekolah ke pesta buku yang dipandu oleh Cikgu Wan Bangdilah Ahmad.

    Kedatangan kami disambut oleh Puan Hana dan Puan Fadhilah. Rombongan sekolah kami turut menerima sekotak buku percuma yang bernilai RM 500 untuk kegunaan perpustakaan sekolah kami daripada pihak penganjur. Selepas mengambil gambar bersama-sama, kami pun mula mengunjungi reruai yang menjual pelbagai jenis buku.

    Pelajar-pelajar berasa seronok ketika melihat buku yang banyak. Mereka juga membeli buku dari pesta buku sebagai rujukan bagi pelajaran mereka. Dua orang guru pengiring turut memilih buku yang sesuai serta membeli buku untuk kegunaan perpustakaan.

    Selepas tiga jam, kami berasa puas hati kerana banyak buku yang telah dibeli dari pesta buku tersebut. Sebelum kami pulang ke sekolah, kami mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan manis kami. Lawatan kali ini telah memanfaatkan pelajar untuk membeli buku dengan potongan harga yang banyak. Kami berharap tahun depan kami berpeluang untuk mengunjungi pesta buku lagi.