Laporan Pertandingan Papan Buletin Kelas Penggal 2 2024

    Bahagian Disiplin Pelajar Sekolah Menengah Chung Hua (Psdn) Klang dengan kerjasama kumpulan Bahasa Melayu telah mengadakan pertandingan menghias papan buletin kelas. Pertandingan ini diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitiri pada tahun ini. Setiap kelas wajib menyertai pertandingan ini yang bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Setiap kelas telah diberi masa untuk menghias papan buletin kelas mereka sehingga 29 Mac 2024.

    Pertandingan ini bertujuan untuk memahami budaya dan makna sambutan Hari Raya Aidilfitri, di samping memberikan inspirasi kepada pelajar untuk memperlihatkan semangat kreatif dan inovatif serta mengembangkan kreativiti mereka. Seterusnya, pertandingan ini bertujuan untuk mengindahkan persekitaran pembelajaran, dan meningkatkan kecekapan bahasa pelajar.

    Pada 29 Mac 2024, setiap papan buletin kelas telah dinilai mengikut kategori iaitu kelas Kumpulan A (Intervensi dan Junior 1), Kumpulan B (Junior 2 dan Junior 3), dan Kumpulan C (Senior 1, Senior 2 dan Senior 3). Setiap kelas perlu menghantar wakil untuk membentangkan isi papan buletin kelas masing-masing. Seramai 12 orang pengadil dalam kalangan guru bahasa Melayu telah dipilih untuk menilai papan buletin kelas.

    Guru bertugas yang mengadili pertandingan berpendapat bahawa setiap kelas menunjukkan minat dan usaha semasa menghias papan buletin. Pelajar-pelajar telah menunjukkan semangat kesungguhan dalam menyiapkan papan buletin yang cantik dan menarik. Penilaian setiap papan buletin kelas pada hari tersebut juga berjalan dengan lancar atas kerjasama guru-guru bahasa Melayu dan bahagian disiplin. Hasil penilaian juga telah diserahkan kepada bahagian disiplin untuk diumumkan.

    Lima buah kelas telah dipilih sebagai pemenang bagi setiap kategori. Pemenang dipilih berdasarkan nilai markah yang diberikan oleh pengadil. Hasil hiasan papan buletin dan markah yang diperoleh dipaparkan pada laman google classroom sekolah. Pihak sekolah berharap agar setiap murid memperoleh manfaat dan pengalaman daripada pertandingan ini serta dapat lebih memahami budaya dan agama lain.

Kumpulan A: J1LO (johan), J1FP (naib johan), J1LV (tempat ketiga)

Kumpulan B: J2BE (johan), J3BE (naib johan), J2LO (tempat ketiga)

Kumpulan C: S3AL (johan), S2ST (naib johan), S2AH (tempat ketiga)