Laporan disediakan oleh : Cikgu Teh Yen Peng
    Pada 12 Februari 2026, Kumpulan Bahasa Melayu telah mengadakan aktiviti menggaul Yee Sang sempena Tahun Baharu Cina. Aktiviti menggaul Yee Sang diadakan untuk mengekalkan dan memelihara warisan budaya masyarakat Cina agar tidak ditelan zaman. Selain itu, guru-guru kumpulan Bahasa Melayu yang terdiri daripada kaum yang berbeza juga dapat berkumpul, bekerjasama menggaul Yee Sang dan saling berinteraksi, sekali gus memupuk semangat muhibah dan mengeratkan perpaduan kaum.
    Bukan itu sahaja, guru-guru Cina juga berkongsi maksud simbolik bahan-bahan Yee Sang. Yee Sang bermaksud kemakmuran, kesihatan dan keberkatan bersama dengan guru-guru Melayu. Hal ini penting untuk memperkenalkan aktiviti menggaul Yee Sang kepada guru-guru Melayu. Aktiviti ini mengajar nilai bekerjasama, hormat-menghormati dan bertoleransi antara kaum. Aktiviti menggaul Yee Sang mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran. Pada masa yang sama, aktiviti ini juga melambangkan harapan memperoleh rezeki, kejayaan dan kehidupan yang lebih baik pada tahun baharu.
    Akhirnya, guru-guru Melayu berasa sangat teruja dan gembira ketika menggaul Yee Sang. Guru-guru makan Yee Sang dengan gembira dan memuji kesedapan Yee Sang yang dibuat daripada bahan-bahan organik. Oleh itu, Yee Sang bukan sahaja sedap, malah sihat dan selamat dimakan. Semoga aktiviti yang penuh bermakna ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.