Disediakan oleh Cikgu Wan
    Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang telah mengadakan satu bengkel dalaman pada 12 Jun 2025. Dengan ini, pihak sekolah telah menjemput seorang cef yang disegani serta berpengalaman luas dalam bidang bakeri iaitu Cef Yeap Li Jet untuk menjalankan bengkel cara-cara membuat ‘Basque Burnt Cheesecake’ kepada para guru kumpulan Bahasa Melayu. Bengkel ini dijalankan selama satu jam dua puluh minit bermula dari pukul 1.30 tengah hari hingga 2.50 petang.
    Sebelum aktiviti membuat kek bermula, Cef Yeap Li Jet turut memberikan taklimat keselamatan, langkah-langkah pembuatan kek serta pembahagian tugas dalam tiga kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang guru bagi setiap kumpulan.
    ‘Burnt Cheesecake’ atau nama penuhnya Basque Burnt Cheesecake merupakan pencuci mulut dari Sepanyol yang menjadi fenomena dalam dunia kulinari. Kek ini terkenal dengan permukaan hangus (burnt) berwarna gelap dan tekstur dalaman yang lembut serta berkrim.
    Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk berkongsi ilmu tentang cara-cara membuat ‘Basque Burnt Cheesecake’. Selain itu, bengkel ini juga mendedahkan cara mudah membantu para guru lebih mahir dalam pengurusan masa, teknik membakar dan penyediaan bahan membuat kek. Bengkel ini juga dapat memupuk kerjasama dan komunikasi yang berkesan para guru dalam kumpulan.
    Akhirnya, guru-guru Bahasa Melayu yang lain memberikan maklum balas yang positif terhadap bengkel membuat kek ini. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cef Yeap Li Jet atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu cara membuat ‘Basque Burnt Cheesecake’. Moga-moga semua guru Bahasa Melayu mendapat manfaat daripada perkongsian ini.