Kumpulan Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang telah menganjurkan Bengkel Ulang kaji Bahasa Malaysia UEC 2024 pada hari Jumaat, 30 Ogos 2024. Dengan ini, pihak sekolah telah menjemput seorang penceramah yang berpengalaman dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia selama 23 tahun iaitu Cikgu Tan CL untuk mengendalikan bengkel ini khusus kepada pelajar-pelajar Senior Tiga yang akan menghadapi Peperiksaan UEC pada tahun ini. Bengkel ini telah diadakan selama dua jam dari pukul 10.10 pagi hingga pukul 12.10 tengah hari.
    Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran murid dalam menguasai teknik menjawab soalan berdasarkan Peperiksaan UEC. Cikgu Tan CL juga turut menyediakan lembaran kerja untuk para pelajar dan guru yang terlibat.
    Bengkel dimulakan dengan sesi soal jawab beberapa soalan berkaitan kesalahan bahasa sebagai sesi pertama bengkel tersebut. Para pelajar diminta memberikan jawapan berdasarkan soalan-soalan kesalahan bahasa yang dikemukakan. Para pelajar telah memberikan respons yang memberangsangkan semasa sesi soal jawab dalam bengkel ini. Cikgu Tan CL memberikan penerangan yang jelas bagi setiap soalan yang dipaparkan menerusi slaid PPT. Beliau turut menguji pengetahuan pelajar dalam menguasai ejaan. Contohnya, beliau meminta pelajar memberikan ejaan yang betul bagi perkataan “wusyu” dan “susyi”. Beliau menerangkan bahawa kebanyakan perkataan bahasa Melayu menggunakan ejaan ‘sy’ berbanding ‘sh’ seperti perkataan skuasy, masyhur dan sebagainya. Dalam kesalahan tatabahasa pula Cikgu Tan CL memberikan beberapa soalan berkaitan dengan kata bilangan. Setiap soalan yang dikemukakan telah diikuti penerangan yang jelas oleh Cikgu Tan CL. Menurut beliau lagi kesalahan bahasa boleh menjejaskan markah pelajar dalam peperiksaan.
    Sesi kedua bengkel membincangkan bahagian penterjemahan. Contoh soalan dipaparkan kepada pelajar bagi menerangkan cara menjawab dengan betul. Menurut penerangan Cikgu Tan CL, pelajar perlu membahagikan ayat kepada beberapa bahagian sebelum diterjemahkan. Selain itu, pelajar juga harus membaiki kesalahan bahasa yang diterjemahkan dalam bahasa Malaysia yang betul. Beliau turut menasihati agar pelajar tidak melakukan kesalahan ejaan dan imbuhan yang digunakan dalam ayat jawaban.
    Sesi ketiga bengkel merungkai teknik menjawab bina ayat. Cikgu Tan CL mengembangkan bina ayat dengan memberikan formula pembinaan ayat. Antara formula pembinaan ayat termasuklah pelajar perlu mengembangkan ayat dengan perluasan keterangan kata hubung atau kata sendi nama. Beliau juga meminta pelajar agar membina ayat lebih panjang dengan menggunakan keterangan tempat dan masa selain subjek dan predikat. Tambahan pula, Cikgu Tan CL menasihati pelajar agar sentiasa menggunakan tanda baca yang tepat ketika membina ayat mahupun dalam penulisan karangan.
    Sesi keempat bengkel berkaitan dengan bahagian sintaksis. Cikgu Tan CL menerangkan soalan sintaksis yang popular seperti subjek dan predikat, pola ayat, susunan ayat, transformasi ayat dan jenis-jenis ayat. Dalam bahagian sintaksis, pelajar diminta mengenal pasti subjek dan predikat dalam pelbagai susunan ayat. Selain itu, pelajar juga diajukan beberapa soalan berkaitan dengan pola ayat. Beliau turut menerangkan aras soalan yang terdiri daripada satu soalan aras tinggi, dua soalan aras sederhana dan dua soalan aras rendah.
    Sesi terakhir bengkel menekankan cara menjawab soalan karangan. Cikgu Tan CL memberikan tips menjawab soalan karangan. Langkah pertama ialah pelajar perlu membaca semua soalan dan memilih soalan dengan betul. Seterusnya, pelajar wajar membina kerangka karangan. Di samping itu, pelajar mestilah menguasai semua format karangan. Akhir sekali, pelajar mestilah menulis karangan yang lengkap dengan penanda wacananya. Cikgu Tan CL menasihati pelajar agar memilih soalan yang mereka mampu memberikan banyak isi. Kebiasaannya, soalan nombor 3, 4 dan 5 adalah lebih mudah berbanding dengan soalan nombor 1 dan 2.
    Pada akhir sesi, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Tan CL atas kesudian beliau berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Senior Tiga. Pihak sekolah berharap agar pelajar-pelajar Senior Tiga lebih bermotivasi untuk menduduki peperiksaan UEC pada tahun ini.
Disediakan oleh: Cikgu Nadya & Cikgu Hasni
Gambar semasa penyampaian cenderamata oleh Cikgu Phan (Ketua Panitia BM) kepada Cikgu Tan CL