Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah (PSDN) Klang telah menganjurkan lawatan ilmiah ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Istana Alam Shah Klang pada 22 Ogos 2024. Lawatan ini disertai oleh pengetua Sekolah Menengah Chung Hua, Cik Sim Thee Chiam dan 13 orang guru daripada Kumpulan Bahasa Melayu.
    Tujuan lawatan ini diadakan untuk mengenali seni reka bentuk Istana Alam Shah. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk mengetahui sejarah Kesultanan Selangor dan mendapat pendedahan tentang adat istiadat dan protokol di Istana Alam Shah. Seterusnya, lawatan ini bertujuan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hua.
    Lawatan kami bermula dengan lawatan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz pada pukul 9.00 pagi. Kami telah diiringi oleh kakitangan galeri, Cik Syuhaili sepanjang perjalanan di galeri ini. Beliau telah menerangkan salasilah dan riwayat hidup kesultanan Selangor. Galeri ini juga mempamerkan pelbagai koleksi Diraja Selangor seperti pakaian diraja, koleksi duit syiling dan wang kertas. Selain itu, galeri ini mempamerkan pelbagai jenis artifak dan hadiah peribadi yang mengagumkan sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Di samping itu, setiap peserta diwajibkan melawat ke Galeri Diraja terlebih dahulu sebelum mengunjungi Istana Alam Shah Klang.
    Selepas itu, kami dibawa ke Istana Alam Shah Klang yang terletak tidak jauh dari Galeri Diraja pada pukul 10.00 pagi. Kami disambut oleh kakitangan istana, Cik Nur Syakila di hadapan Masjid Istana Diraja. Selepas itu, kami diberikan taklimat oleh kakitangan Masjid Istana Diraja, Ustaz Ahmad Syahmi tentang keistimewaan dan keunikan reka bentuk Masjid Istana Diraja. Masjid Istana Diraja merupakan masjid yang dibina berilhamkan masjid di Mesir dan dihiasi jubin-jubin dari Turki. Masjid ini juga digunakan sebagai tempat pernikahan dan pengurusan jenazah untuk kerabat Diraja Selangor dan kakitangan istana.
    Kemudian, kami dijemput ke balai tengah untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Penyelia Istana, Encik Abd Kadir tentang lawatan di dalam Istana. Sebelum lawatan bermula, kami menikmati jamuan ringan dan bergambar bersama dengan Orang Besar Istana dan Orang Besar Daerah Klang di bahagian anjung ketibaan. Lawatan di dalam istana diteruskan ke Balai Santapan Diraja di mana Majlis Jamuan Diraja diadakan di sini dengan kehadiran Sultan dan kerabat diraja. Balai santapan ini boleh memuatkan 1000 orang tetamu. Kemudian, kami pergi ke Balai Tetamu yang mempunyai tangga besar yang indah menuju ke bilik peribadi diraja.
    Kami juga bersyukur kerana berpeluang melihat pejabat DYMM Sultan Selangor yang digunakan untuk menjalankan urusan harian baginda berkaitan dengan pentadbiran negeri. Di sebelah pejabat DYMM ialah Balai Pengampunan di mana DYMM dan pegawai Dewan Rayuan berkumpul untuk membuat keputusan bagi kes rayuan jenayah yang telah berlaku di negeri Selangor. Di sebelah Balai Pengampunan pula ialah Balai Dewan Diraja yang digunakan untuk mengadakan mesyuarat hal ehwal negeri. Lawatan di dalam istana berakhir dan peserta berkumpul semula di Balai Tengah.
    Pada pukul 1.00 tengah hari, majlis penutup diadakan di Balai Tengah. Encik Kadir telah menjemput wakil Sekolah Menengah Chung Hua Klang, Cikgu Wan untuk menyampaikan ucapan. Seterusnya, pihak sekolah telah menerima cenderamata daripada pihak istana yang disampaikan oleh Y.D.M Engku Seri Perdana Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj bin Taja Mohamad. Pihak sekolah yang diwakili oleh pengetua sekolah, Cik Sim Thee Chiam juga telah menyampaikan cenderamata kepada pihak istana. Setiap peserta lawatan telah diberikan cederamata sebagai kenangan untuk dibawa pulang.
    Sebelum pulang, kami dibawa ke Galeri Automobil Diraja dan Replika Stesen Keretapi Tanjung Pagar. Kedua-dua tempat ini terletak di pekarangan Istana Alam Shah. Galeri Automobil Diraja ialah tempat letaknya khazanah kereta dan motosikal yang telah dikumpul serta kenderaan dan koleksi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Terdapat replika Stesen Kereta Api Tanjong Pagar termasuk dua buah gerabak kereta api. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar di sini sebagai kenangan.
    Akhirnya, lawatan ini berakhir kira-kira pukul 2.30 petang. Kami berasa teruja melihat keindahan Istana Alam Shah Klang. Kami juga telah mendapat pengetahuan dan menimba pengalaman melalui lawatan ini. Kami berharap agar dapat mengadakan lawatan ilmiah seperti ini jika berpeluang lagi.
Disediakan oleh: Cikgu Razila


