Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah (PSDN) Klang telah menganjurkan Bengkel Pemantapan dan Perkongsian Teknik Menjawab Kertas Soalan Bahasa Melayu SPM pada 3 Mei 2024. Dengan ini, pihak sekolah telah menjemput seorang guru yang berpengalaman iaitu Cikgu Tan CL sebagai penceramah untuk menjalankan bengkel ini kepada pelajar-pelajar senior dua yang akan menghadapi Peperiksaan SPM pada tahun ini. Bengkel ini telah diadakan selama dua jam dari pukul 10.10 pagi hingga 12.10 tengah hari.
    Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan teknik dan kemahiran menjawab Peperiksaan SPM. Selain itu, bengkel ini juga mendedahkan cara-cara mudah kepada pelajar untuk menjawab Peperiksaan SPM. Cikgu Tan CL juga ada menyediakan lembaran kerja untuk para pelajar yang terlibat.
    Bengkel ini menekankan cara menjawab bahagian penulisan dan tatabahasa. Sebelum bengkel bermula, Cikgu Tan CL memberitahu para pelajar tentang aplikasi KamusPro yang sesuai digunakan untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu. Seterusnya, Cikgu Tan CL menerangkan teknik menjawab kertas 1 SPM. Antara perkara yang telah dibincangkan semasa bengkel seperti tema soalan, arahan soalan, cara melihat fokus dalam bahan rangsangan, format soalan, dan analisis soalan SPM. Pada bahagian A kertas 1 SPM, Cikgu Tan CL juga mengingatkan kepada para pelajar agar tidak menyalin ayat dalam bahan rangsangan dan sentiasa membina ayat sendiri. Pelajar juga memberikan respon yang baik semasa sesi soal jawab dalam bengkel ini.
    Seterusnya, Cikgu Tan CL memberikan panduan untuk menjawab kertas 2 SPM. Cikgu Tan CL menyatakan soalan-soalan tatabahasa SPM dari tahun 2021 hingga tahun 2023. Murid juga mencatat nota penting seperti soalan ramalan SPM 2024 bagi bahagian tatabahasa. Selepas itu, Cikgu Tan CL juga berkongsi teknik untuk menjawab soalan kesalahan ejaan, imbuhan, istilah dan tatabahasa. Cikgu Tan CL juga melatih para pelajar agar membina ayat bagi setiap perkataan yang diberikan.
    Akhirnya, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Tan CL atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Senior Dua. Moga-moga pelajar-pelajar Senior Dua lebih bermotivasi untuk berusaha dan berkeyakinan semasa menjawab Peperiksaan SPM pada tahun ini.