Laporan Lawatan Sambil Belajar Kumpulan Bahasa Melayu pada tahun 2023

    Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah (PSDN) Klang telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan ke Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor pada 22 Ogos 2023. Lawatan sambil belajar ini disertai oleh 13 orang guru daripada Kumpulan Bahasa Melayu. Kami bertolak ke destinasi dengan van sekolah yang dipandu oleh Cikgu Wan.



    Tujuan lawatan sambil belajar ini diadakan adalah untuk mengenali keunikan dan kecantikan rekaan binaan Masjid Negeri. Selain itu, kami juga dapat menimba pengetahuan melalui pameran Sejarah dan kesenian Islam di Kompleks Seni Islam.



    Pada mulanya, kami melawat ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Kami dijemput ke sebuah bilik mesyuarat untuk mendengar taklimat. Selepas itu, kami mengikut jejak kaki pemandu pelancong untuk berkunjung ke persekitaran masjid. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan masjid yang terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara. Kami dibawa oleh pemandu pelancong untuk melawat ke perpustakaan, bilik wudhu, dewan solat, bilik pernikahan dan sebagainya.



    Kami berasa terpegun apabila melihat reka dalaman masjid. Lampu berbentuk bola kecil seolah-olah langit malam yang disinari kerlipan bintang. Kami mengambil kesempatan untuk mengambil gambar di persekitaran masjid kerana kagum akan kecantikan reka bentuk masjid. Selepas itu. kami dibawa ke bilik makan untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh pihak masjid. Kami juga diberi buah tangan sebelum kami beredar dari masjid tersebut.



    Selepas itu, kami pun bertolak ke Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Kami dibawa untuk menyelusuri 24 Segmen Sirah Junjungan Agung Nabi Muhammad SAW yang mengambil masa lebih kurang satu jam tiga puluh minit. Aktiviti pertama ialah tayangan video tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kemudian, kami melawat ke replika suasana kehidupan Rasulullah SAW dari kecil hingga baginda meninggal dunia.



    Antara 24 Segmen Sirah Junjungan Agung Nabi Muhammad SAW termasuklah zaman kanak-kanak Rasulullah SAW, perdagangan, Gua Hira, Kebun Tamar dan sebagainya. Kami mengambil gambar sambil melawat ke 24 Segmen Sirah Junjungan Agung Nabi Muhammad SAW. Pemandu pelancong yang beramah mesra juga bertanya soalan yang berkenaan dengan Rasulullah SAW kepada kami. Sesiapa yang dapat menjawab soalannya diberi penanda buku sebagai ganjaran.



    Akhirnya, kami singgah di kedai kopi iaitu Kopitiam Chong Kok untuk minum petang sebelum balik ke sekolah. Kami banyak mendapat pengetahuan dan menimba pengalaman melalui lawatan ini. Kami berharap agar dapat membawa pelajar melawat ke tempat-tempat sedemikian jika berpeluang.



Disediakan oleh: Cikgu Teh

Lawatan-Sambil-Belajar-Kumpulan-BM2023-1