Kursus Dalaman tentang Kemahiran Mengarang

    Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN.) Klang telah menganjurkan kursus dalaman tentang kemahiran mengarang pada 13 Julai 2023. Kursus dalaman kali ini dikendalikan oleh ketua panitia iaitu Cikgu Phan bersama dengan seorang guru yang berpengalaman iaitu Cikgu Sze . Kursus kali ini telah diadakan selama satu jam dari pukul 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

    Tujuan kursus dalaman kali ini diadakan adalah untuk meningkatkan teknik dan kemahiran guru semasa membimbing pelajar dalam bidang penulisan. Selain itu, kursus dalaman juga mendedahkan cara-cara mudah kepada guru untuk mengajar pelajar mengarang, khususnya kepada pelajar yang lemah.

    Pada mulanya, Cikgu Sze membincangkan teknik mengarang dengan berdasarkan teknik IMBKUP. Beliau seterusnya mengembangkan penulisan isi dengan memberikan formula IMBKUP, iaitu idea, mengapa, bagaimana, kesan, ungkapan dan penegasan. Cikgu Sze juga meminta guru cuba membina satu perenggan karangan berdasarkan teknik ini. Guru-guru memberikan respon yang agak menggalakkan semasa membentangkan satu perenggan isi karangan yang ditulis itu.

    Selepas ini, Cikgu Phan turut membincangkan cara menghasilkan pendahuluan dengan menggunakan teknik THINK, iaitu tema, huraian, isu, kesan negatif dan kehendak soalan. Beliau turut memaparkan gabungan antara ayat itu sehingga berjaya menghasilkan pendahuluan yang begitu bernas sekali. Kemudian, teknik menulis kesimpulan dengan menggunakan teknik TCHUP turut dibentangkan oleh beliau, TCHUP bermaksud tema, cadangan, harapan, ungkapan, penegasan. Guru-guru juga lebih memahami cara menghasilkan karangan dengan cara menggunakan konsep pasang siap tersebut.

    Akhirnya, diharapkan kursus dalaman kali ini dapat memberikan manfaat kepada guru-guru Bahasa Malaysia semasa membimbing pelajar dalam bidang penulisan.