Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah (PSDN) Klang telah menganjurkan ceramah kemahiran menjawab soalan Peperiksaan Bersama UEC pada 22 Jun 2023. Dengan ini, pihak sekolah telah menjemput seorang guru yang berpengalaman iaitu Cikgu CL Tan untuk memberikan ceramah kepada pelajar-pelajar Senior Tiga yang akan menghadapi Peperiksaan Bersama UEC tahun ini. Ceramah ini telah diadakan selama satu jam dari pukul 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang.
Tujuan ceramah ini diadakan adalah untuk meningkatkan teknik dan kemahiran menjawab Peperiksaan Bersama UEC. Selain itu, ceramah ini juga mendedahkan cara-cara mudah kepada pelajar untuk menjawab Peperiksaan Bersama UEC dengan lampiran nota formula yang diberikan.
Pada mulanya, Cikgu CL Tan membincangkan teknik menjawab bina ayat. Cikgu CL Tan mengembangkan bina ayat dengan memberikan formula pembinaan ayat. Antaranya, formula pembinaan ayat termasuk mengembangkan ayat dengan perluasan keterangan kata hubung atau kata sendi nama. Cikgu CL Tan juga meminta pelajar agar membina ayat yang lebih panjang dengan menggunakan keterangan tempat dan masa selain subjek dan predikat. Tambahan pula, Cikgu CL Tan menasihati pelajar agar sentiasa menggunakan tanda baca yang tepat ketika bina ayat mahupun menulis karangan.
Selain itu, Cikgu CL Tan turut membincangkan tatabahasa. Cikgu CL Tan menjelaskan jenis kesalahan yang kerap dikeluarkan dalam soalan-soalan Peperiksaan Bersama UEC. Contoh jenis kesalahan yang diberikan sememangnya dapat memanfaatkan pelajar apabila pelajar dapat membiasakan diri dengan jenis kesalahan tatabahasa yang sering dijumpai oleh mereka.
Di samping itu, Cikgu CL Tan juga memberikan panduan untuk menulis karangan iaitu membaca, membuat latihan dan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu. Menurut Cikgu CL Tan, pelajar haruslah banyak membaca karangan sama ada karangan dalam Internet mahupun karangan dalam buku rujukan. Seterusnya, pelajar perlulah membuat latihan, mengulang kaji dan membuat pembetulan sekiranya terdapat kesalahan dalam karangan. Tambahan pula, kosa kata yang berkaitan dengan topik karangan juga harus dipelajari. Kemudian, Cikgu CL Tan memberitahu pelajar bahawa sikap ingin tahu dapat meningkatkan markah karangan mereka kerana mereka akan sentiasa bertanya untuk mendapatkan jawapan. Cikgu CL Tan turut berkongsi panduan untuk imbuhan.
Akhirnya, kami mengambil gambar bersama-sama sebelum ceramah berakhir. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu CL Tan atas kesudian beliau untuk memberikan ceramah kepada pelajar-pelajar Senior Tiga. Moga-moga pelajar-pelajar Senior Tiga lebih berkeyakinan semasa menjawab Peperiksaan Bersama UEC pada akhir tahun ini.

