Kursus Dalaman tentang Kemahiran Menulis Rumusan (Junior)

    Kumpulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN) Klang telah menganjurkan kursus dalaman tentang kemahiran menulis rumusan (Junior) pada 20 Julai 2023. Kursus dalaman kali ini dikendalikan oleh Cikgu Hasni dan Cikgu Maryantie. Kursus kali ini telah diadakan selama empat puluh lima minit dari pukul 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.



    Tujuan kursus dalaman kali ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan guru tentang format menulis rumusan peringkat menengah rendah yang betul dan terkini. Selain itu, kursus dalaman juga mendedahkan teknik dan kemahiran yang mudah kepada guru untuk mengajar pelajar menulis rumusan, khususnya kepada pelajar yang lemah.



    Pada mulanya, Cikgu Hasni menerangkan maksud rumusan dan jenis-jenisnya. Seterusnya beliau memperincikan setiap format penulisan rumusan. Cikgu Hasni juga turut menjelaskan teknik menjawab soalan rumusan jenis graf bar dan cara menulis rumusan tersebut menggunakan teknik acuan. Guru-guru juga digalakkan berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat agar dapat meningkatkan pemahaman dalam penulisan rumusan.



    Seterusnya, Cikgu Maryantie turut membincangkan teknik menjawab soalan rumusan jenis pelan dan cara menulis rumusan tersebut menggunakan teknik acuan yang berbeza. Beliau turut memaparkan contoh soalan bagi memudahkan perbincangan dijalankan bersama-sama. Guru-guru juga digalakkan untuk membina ‘acuan’ rumusan mengikut jenisnya dan kreativiti guru agar dapat memudahkan pelajar yang lemah terutamanya menulis rumusan dengan betul.



    Akhir sekali, diharapkan kursus dalaman kali ini dapat memberikan manfaat kepada para guru Bahasa Malaysia semasa membimbing pelajar dalam bidang penulisan rumusan menengah rendah.